Saturday 18 October 2014

Erti Pengorbanan...


Entri pada kali ini menceritakan tentang seorang insan yang saya rasa amat saya kagumi, dan melalui penceritaan ini sahaja rasanya cara untuk saya menterjemahkan rasa kagum itu, supaya boleh diambil pengajaran oleh orang lain.

Eya, orangnya cuma biasa-biasa saja. Tetapi kisah hidupnya agak luar biasa.

Maka, bermulanya cerita ini, kami berkenalan sewaktu kerja part-time di restoran Pizza Hut Giant, Sandakan. Ketika itu masih sama-sama berada di tingkatan 6, persediaan sebelum mengambil peperiksaan STPM. Serasanya kami pernah bertemu sebelum itu lagi dalam satu program yang saya juga sudah lupa program apa.

Seorang yang ceria, sentiasa bersemangat dalam berkerja, membuat orang lain mudah merasa ‘senang’ kepadanya. Itulah dia orangnya. Keluarganya biasa-biasa sahaja, punya adik-beradik yang ramai. Sepanjang perkenalan itu, tidak ada sebarang masalah yang berlaku bahkan sepertinya kami adik-beradik dan juga rakan sekerja.

Selepas menduduki peperiksaan STPM, maka kami pun masing-masing berkerja. Ketika itu saya berkhidmat sebagai seorang Pengawal Keselamatan dengan gaji yang agak rendah, kira-kira RM300 sebulan. Dia pula? Saya juga tidak berapa ingat, mungkin kerana memori lama itu sukar untuk diingati.

Masuk UIA Gombak

Akhirnya keputusan UPU keluar pada tahun 2011, dan Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat di salah sebuah IPTA. Dia mengambil jurusan Ekonomi manakala saya pula berkecimpung dalam bidang Sains Kemanusiaan. Oh, sebelum terlupa, dia anak sulung. =)

Sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar IPT, seperti biasa lah, semuanya ok saja. Dia dengan sifatnya yang ceria, membuatkan orang di sekelilingnya juga turut terkesan dengan keceriaan itu. Pada awalnya, kami selalu bertemu, memandangkan sama-sama terkandas di CELPAD, hahaha. Namun, sejak masuk ke kuliah, kami agak jarang untuk bertemu. Eyalah, masing-masing sibuk dengan pengajian masing-masing tapi semuanya masih dalam keadaan terkawal, masih meneruskan kegembiraan di sebalik kesibukan yang melanda.

Pengorbanan seorang Anak Sulung

Ada satu masa tu, dia bertanya pandangan saya, tentang kalau dia berhenti belajar dan berkerja sebagai kakitangan kerajaan, memandangkan ketika itu dia baru sahaja mendapat panggilan temuduga daripada SPA8. Saya agak kurang bersetuju dengan pilihannya kerana dia masih tinggal 3 tahun sahaja sebelum menghabiskan pengajian, namun, satu perkara yang buat saya tersentap tatkala dia mengatakan tentang tanggungjawabnya sebagai seorang anak sulung.

Saya terdiam, tidak ada bicara yang dapat diungkapkan melainkan hanya menerima pilihan itu dengan hati yang terbuka. Besar sungguh jiwanya berkorban demi kedua orang tua dan adik-beradiknya. Saya bukan apa, risaukan tentang pelajarannya, memandangkan kami sama-sama masuk ke UIA, kalau boleh biarlah pula kami sama-sama pulang ke kampung halaman tercinta, Sandakan dengan segenggam sijil.

Pernah bapanya berkata, 

“kau tengok-tengokkan dia ya, kamu tu macam adik-beradik, kalau ada apa-apa, kamu lah bertolong-tolongan.”

Saya hanya tersenyum ketika itu sambil mengangguk. Sebuah kepercayaan yang diberikan kepada saya daripada bapa seorang kawan. Sungguh, kepercayaan itulah yang membuatkan saya risau kepadanya tatkala dia berkeputusan untuk mengundurkan diri daripada pengajiannya.

Begitu Rupanya Dia…

Hari Raya Aidilfitri tahun 2012 kalau tidak silap, saya berkunjung ke rumahnya bersama dengan geng keras, Ikmal dan Adli. Sambil menjamu hidangan yang disediakan, bercerita juga dengan bapanya. Yang masak semua lauk tu dia, yang menjahit pakaian adik-adiknya juga dia, buat kek juga dia. Kalau bukan kerana malam tu perut sudah tidak mampu diisi, memang saya habiskan kek Cheese yang dia buat. Memang sedap.

Daripada situ saya memahami kenapa dia mengambil keputusan itu. Eya, keputusan yang agak sayang apabila berkait dengan pelajaran tetapi dalam pada masa yang sama, keputusan itu juga lah yang memberikan kesenangan kepada ahli keluarganya. Cukup kagum. Tidak semua orang berani mengambil pendirian sebegitu apatah yang dikorbankan itu masa hadapan diri sendiri.

Mengenali dirinya sudah cukup mengajar diri ini tentang erti pengorbanan. Saya pasti, kedua orang tuanya tidak bersetuju kepadanya namun, dia tetap dengan pilihannya demi orang tua dan adik-adik yang dikasihinya.

Tidak banyak yang dapat saya bantu pada hari terakhirnya di UIA. Yang ada ketika itu hanyalah sahabat saya Fathi yang juga bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah bersama dengannya dan seorang kawan yang sama-sama berurusan untuk meninggalkan kampus Gombak.

Kini…

Baru mendapat khabar berita akan dia bakal bernikah. Alhamdulillah, moga dipermudahkan urusannya, diberi kebahagiaan di dunia jua di akhirat. Ingin sahaja diri ini berkata; “untung dapat isteri macam dia…” namun itu semua hanya mampu diungkapkan melalui tulisan yang bertaip ini. Dia adalah antara insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan sepanjang perkenalan kami.

Moga keceriaannya itu akan terus terukir di wajahnya. Hanya itu sahaja yang dapat saya harapkan. Sekadar coretan, tribut seorang insan yang sudah kenal erti pengorbanan sebenar

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts