Wednesday 28 June 2017

Sejarah Sandakan dalam Filem Jepun, Sandakan No.8


Kisah sejarah sebahagian besarnya diterjemahkan dalam bentuk penulisan yang kita dapati hari ini dan sebahagiannya pula dimanifestasikan melalui tayangan gambar.

Demikian kisah yang berlaku di Sandakan pada awal 1900-an, sebuah daerah yang pernah menjadi ibu negeri Sabah sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua dan terkenal dengan nama jolokannya "The Little Hong Kong".


Sandakan Hachiban Shokan a.k.a. Sandakan No.8
Sandakan No. 8 atau dalam bahasa Jepunnya, Sandakan Hachiban Shokan berkisar tentang kehidupan seorang wanita yang digelar sebagai 'Karayuki-san', Osaki Yamakawa.

Keiko bersama Osaki di rumahnya yang usang
Osaki tinggal di sebuah kampung yang terpencil di mana dia ditemui oleh seorang jurnalis, Keiko Mitani yang sedang membuat kajian berkenaan wanita Jepun yang dieksploitasi untuk menjadi pelacur di rumah-rumah pelacuran sekitar Asia pada awal kurun ke-20.  

Osaki Yamakawa 


Mengimbas kembali ke tahun 1920-an, Osaki menceritakan kisah hidupnya yang dilahirkan dalam keluarga miskin. sebagaimana kanak-kanak perempuan sekampung dengannya di Amakusa, Demi melangsaikan hutang-hutang keluarganya, dia 'dijual' untuk dijadikan pembantu rumah di Sandakan, Borneo Utara.

Saat pertama kali Osaki menjejakkan kaki ke Sandakan dibawa oleh pemilik rumah pelacuran no. 8
Pada awalnya Osaki menyangka tugasnya hanya sekadar menjadi pembantu rumah di sebuah rumah pelacuran yang dia anggap sebagai sebuah hotel. Namun pada tahun 1914, selepas 2 tahun berkerja sebagai pembantu rumah, akhirnya dia dipaksa untuk menjadi pelacur dan bermulalah kisah paling pahit dalam hidupnya seawal 12 belas tahun.

Sandakan No.8
Segala pendapatannya sepanjang berada di Sandakan dihantar kepada abangnya di Amakusa untuk menebus kembali rumah dan tanah keluarga yang telah digadai oleh bapa mereka sebelum kematiannya.

Dia bertemu dengan seorang lelaki Jepun berumur 18 tahun, Hideo Takeuchi yang bekerja di Tanjung Aru sebagai peladang. Lelaki tersebut berjanji akan menjadikan dia sebagai isteri namun akhirnya dia ditinggalkan oleh lelaki tersebut apabila Hide berkahwin dengan anak majikannya.

Kehidupannya sebagai seorang pelacur di Sandakan No.8 berlangsung sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua. Ketika itu dia kembali ke kampung halamannya di Jepun.

Sekembalinya Osaki bertemu abangnya, dia dilayan seperti sampah dan dianggap memalukan keluarga (sebagaimana sedia maklum dia adalah seorang pelacur) sedangkan rumah yang didiami oleh abang dan isterinya adalah hasil daripada wang kiriman Osaki sepanjang dia berada di Sandakan.

Kecewa dengan layanan abangnya, Osaki kembali semula ke Sandakan setelah tamat Perang Dunia Kedua. Di Sandakan, dia bertemu dengan suaminya yang juga orang Jepun dan dikurniakan seorang anak lelaki. Kematian suaminya tidak beberapa lama selepas itu membuatkan dia memilih untuk pulang semula ke Jepun tetapi bukan lagi ke kampung halamannya.

Sejarah hidup yang gelap di Sandakan No.8 menyebabkan dia dipandang hina dan disisihkan oleh masyarakat hatta oleh anaknya sendiri yang malu kerana ibunya adalah bekas pelacur.

Adaptasi daripada sebuah Buku


Sandakan Brothel No.8 karya Yamazaki Tomo

Kisah ini diadaptasikan daripada sebuah buku karya Yamazaki Tomoko bertajuk Sandakan Brothel No. 8: An Episode in the History of Lower-Class yang membincangkan berkenaan 'Karayuki-san', gelaran yang diberikan kepada golongan wanita Jepun kelas rendah yang dipaksa menjadi pelacur pada awal kurun ke-20.

Jalan Tiga, Sandakan


Jalan Tiga Sandakan sememangnya menyimpan sejarah yang tersendiri sejak kewujudan bandar Sandakan.

Suasana Jalan Tiga seawal tahun 1920-an di atas sekeping poskad
Nama rumah pelacuran ini adalah berdasarkan nombor ke-8 daripada 9 buah rumah pelacuran di Jalan Tiga Sandakan yang menjadi tempat Osaki menetap.

Filem ini sememangnya bukan sahaja menceritakan pengorbanan seorang wanita Jepun demi keluarganya bahkan menggambarkan suasana di Sandakan pada awal 1900-an ketika berada di bawah pentadbiran SBUB (Syarikat Borneo Utara British).

Mungkin ramai yang menyangka bahawa berada di bawah pentadbiran British adalah sesuatu yang menguntungkan namun hakikatnya ia terlalu tragis untuk dikisahkan.

E. Alexander Powell, seorang warga Amerika yang mengembara ke serata pelosok dunia selepas Perang Dunia Pertama, menceritakan keadaan Borneo Utara pada era pentadbiran SBUB ketika beliau berada di Sandakan melalui karyanya, "Where the Strange Trails Go Down". Menurut beliau, dua sumber utama pendapatan SBUB adalah candu dan perjudian yang dijalankan secara terbuka. Di hadapan pusat judi itu pula terletaknya rumah pelacuran yang merujuk kepada Sandakan Brothel No.8.


E. Alexander Powell – “Where the Strange Trails Go Down”

Di sinilah tapak rumah pelacuran yang pernah berdiri megah suatu ketika dahulu, kini digantikan kepada bangunan yang sedia ada setelah Sandakan mengalami kemusnahan yang teruk akibat dibom oleh tentera berikat sewaktu PD2.

Borneo Dispensary - Persatuan Hakka Sandakan

Petikan Video berlatarbelakangkan bandar Sandakan tahun 1960-an;

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts