Tuesday 4 July 2017

Tenggelamnya Kapal ... - Novel Yang Sangat Direkomenkan


Cetakan Pustaka Dini

Bagi para peminat novel dan bagi mereka yang sedang mencari bahan bacaan berbentuk novel, saya cadangkan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Novel agung karya HAMKA.

Saya mula berkecimpung dalam dunia membaca novel seawal usia 10 tahun waktu masih bersekolah rendah. Awalnya saya membaca buku berbentuk cerita, kisah ‘Anbiya tetapi kemudian saya berpindah ke cerpen dan seterusnya novel yang sebahagian besarnya diterbitkan oleh Utusan Publication.

Kenapa saya suka cerpen dan novel terbitan UP? Kerana buku-buku tersebut kaya dengan gaya bahasa yang banyak membantu saya menulis kata-kata puitis. Wakakakaka

Sebelum saya masuk ke novel TKVDW, saya mau cerita sikit pasal Perpustakaan Wilayah Sandakan, dunia pengembaraan cerpen dan novel zaman persekolahan saya dulu. 

Wikipedia
Perpustakaan ni kalau hari Jumaat sangat meriah sebab ramai pelajar sekolah datang berkunjung dengan 2 matlamat utama, (1) dating, (2) gaduh.

Memandangkan dua sebab di atas tiada kaitan dengan saya, maka saya tambah lagi sebab lain; (3) study group, (4) main computer games dan (5) baca dan pinjam buku. Walaupun saya banyak membaca cerpen dan novel di PWS ni, saya tidak pernah sama sekali berjumpa novel TKVDW.

Novel ini sebenarnya direkomenkan oleh ustazah saya sewaktu di tingkatan 5. Pesan beliau, kalau mahu baca novel, boleh cuba baca TKVDW karya HAMKA. Saya pun apa lagi, balik daripada sekolah, terus meluncur ke kedai buku dekat Masjid Jamek Sandakan, bersebelahan dengan kedai Cherry (kedai jual CD). Kebetulan itulah satu-satunya buku yang tinggal, di Sandakan!

Memang rezeki dapat buku tu. Saya suka sebab lukisan kapal tenggelam cover novel tu memang lawa.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Novel yang bukan calang-calang. Boleh dikatakan yang paling epik setakat yang saya jumpa. Mana tidaknya, dikarang oleh seorang ‘Ulama Nusantara yang terkenal, HAMKA (Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Dr. Syekh Haji Abdul Karim Amrullah).



Bukan sahaja gaya bahasanya yang halus, bahkan mesej yang disampaikan sangat mendalam. Berbeza dengan novel-novel cinta yang ada di sekitar kita sekarang ini yang kebanyakannya hanya berlegar dalam ruang cinta dan cabarannya sahaja.

Meskipun ditulis dalam Bahasa Indonesia, Ia masih mudah untuk difahami. Kandungannya pula, sarat dengan mesej yang secara tidak langsung merupakan kritikan kepada budaya masyarakat Indonesia yang lebih mementingkan adat sehingga mengorbankan cinta antara Zainuddin dan Hayati.

Diadaptasi ke Filem




Bagi yang pernah membaca TKVDW versi novel pasti dapat merasakan perbezaannya dengan versi filem. Meskipun penonton dapat melihat keadaan yang digambarkan melalui kaca televisyen sebagaimana dalam novel, aspek penting seperti batasan aurat telah diketepikan sedangkan ia berbeza dengan karya asal HAMKA dan ia telah mendapat kritikan daripada ramai pihak kerana dianggap 'merosakkan' novel asal.

Demikian juga pengakhiran cerita versi Filem tersebut yang ternyata di luar jangkaan. Namun tidak dinafikan ia sedikit sebanyak memberi pengalaman baru kepada para penonton untuk merasai suasana ‘sebenar’ novel tersebut berbanding dengan sekadar membaca.

Bagi yang pernah membaca juga, dan yang benar-benar menyelami kisah Zainuddin dan Hayati melalui novel, “seolah-olah akulah Zainuddin” akan menjadi monolog mereka.

Sisi Pandang Sebagai Seorang yang Pernah ‘Khatam’ novel TKVDW


Selain kritikan terhadap adat sesebuah masyarakat, saya boleh katakan, novel ini memberi inspirasi kepada para pemuda yang benar-benar menyelami kisah Zainuddin. Ia sememangnya memberi nilai tambah buat para pembaca selain turut menduga emosi mereka tentang ‘pengkhianatan’ Hayati terhadap Zainuddin.

Yang paling penting sekali, novel ini seakan-akan 'berpesan' kepada para lelaki bahawa, sebagai seorang lelaki, jangan korbankan diri sendiri hanya kerana kegagalan dalam bercinta. Tiada guna menderita di atas kebahagiaan orang lain kerana orang yang bahagia sudah pasti akan lupa kepada yang menderita keranya.

Dalam kisah ini, walaupun pada awalnya Zainuddin tersangat kecewa dengan cintanya yang telah dikhianati, dia kembali bangkit sehingga menjadi penulis yang terkenal, dan tidak dinafikan juga sumbangan Muluk sebagai seorang sahabat yang setia berdamping dengannya.



Novel ini masih diulang cetak oleh ramai penerbit dan seharusnya peminat novel tidak sesekali melepaskan peluang untuk mengembara ke dunia TKVDW.

Highly Recommended!

Saya tidak mahu ulas dengan lebih panjang supaya mereka yang berminat akan merealisasikan impian mereka dengan membaca novel ini.

Saksikan klip TKVDW ni;



No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts