Friday 7 July 2017

Okuni dan Tanah Perkuburan Jepun di Sandakan

thriftytraveller.wordpress.com
Sandakan bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, bahkan kaya dengan nilai sejarah yang tersendiri antaranya Tanah Perkuburan Jepun yang telah wujud lebih separuh abad dahulu.

Sudah pasti ramai yang tahu akan kewujudan tanah perkuburan Jepun di Sandakan yang lokasinya terletak di atas bukit belakang rumah Agnes Keith, Jalan Istana, tetapi mungkin ramai yang tidak maklum akan kisah di sebalik kewujudan pusara yang menjadi tumpuan pelancong Jepun setiap kali menjejakkan kaki ke Sabah.

Sebelum ini saya ada kongsikan Sejarah Sandakan dalam Filem Jepun, Sandakan No.8. dan kisah ini sememangnya berkait rapat dengan kewujudan tanah perkuburan Jepun ini.


Asal Usul Tanah Perkuburan



Idea di sebalik kewujudan tanah perkuburan Jepun di Sandakan ini bermula daripada seorang wanita Jepun yang dikenali sebagai Okuni atau nama sebenarnya Kinoshita Kuni.

Siapa Okuni?



Sebagaimana wanita Jepun kelas bawahan lain yang telah diseludup ke luar negara dan dijadikan sebagai pelacur termasuklah di Borneo Utara pada awal kurun ke-20, Okuni adalah salah seorang daripada mereka.

Dilahirkan pada 7 Julai 1854 di Amakusa Jepun dalam keluarga yang miskin. Okuni telah 'berhijrah' ke Tokyo seorang diri pada pertengahan tahun 1860-an yang ketika itu masih belasan tahun. Sekitar tahun 1870, dia telah berkahwin dengan seorang jurutera British yang bertugas di Tokyo bagi projek laluan kereta api antara Tokyo dan Yokohama.

Okuni kemudiannya ditinggalkan oleh suaminya yang pulang ke England pada sekitar tahun 1884 dan setelah itu dia pun berpindah ke Singapura pada tahun 1889 untuk memulakan perniagaan. Kemahirannya berbahasa Inggeris adalah hasil daripada perkahwinan dengan suaminya.

Disebabkan tidak mempunyai perancangan perniagaan yang rapi di Singapura, Okuni akhirnya berpindah ke Sandakan pada tahun 1889. Berbekalkan wang daripada bekas suaminya, dia telah membuka sebuah kedai minum.

Okuni semakin terkenal selepas dia membuka sebuah rumah pelacuran yang tidak asing lagi pada ketika itu, Sandakan Hachiban Shokan (Sandakan No. 8).

Watak Okuni dalam filem Sandakan No.8

Bukan Sekadar Pemilik Rumah Pelacuran


Menyebut tentang pelacur, lebih-lebih lagi 'Mak Ayam', tiada kata yang selayaknya dilemparkan kepada golongan sedemikian melainkan kata-kata berupa hinaan dan celaan. Namun, peranan Okuni sebagai 'Mak Ayam' bukan sekadar pada gelarannya sahaja. Ia lebih daripada itu.

Okuni dianggap sebagai 'Pelindung' oleh pelacur Jepun di Sandakan kerana banyak membantu menyelesaikan bermacam masalah yang dihadapi oleh pelacur-pelacur tersebut lebih-lebih lagi yang tinggal di rumah miliknya, Sandakan No.8. Okuni sangat dikasihi oleh wanita Jepun di Sandakan.


Tanah perkuburan Jepun yang dibina oleh Okuni bukan hanya untuk dirinya semata tetapi dikhususkan juga untuk para wanita Jepun yang menjadikan Sandakan sebagai destinasi terakhir kehidupan mereka.

Mereka memilih untuk tidak pulang ke Jepun kerana berstatus sebagai 'pelacur' adalah sangat memalukan dalam masyarakat dan keadaan itu hanya menyebabkan mereka dihina dan disisihkan sebagaimana yang dilalui oleh kebanyakan pelacur Jepun yang telah pulang ke tanah air mereka.



Seperti yang dicatatkan, Karayuki-san (wanita yang diseludup ke luar Jepun dan dijadikan sebagai pelacur) merupakan kelompok yang paling ramai dalam kalangan imigran Jepun di Borneo Utara pada tahun 1909.

Ia adalah antara kisah yang akan sentiasa tersemat di dalam lembaran sejarah bandar Sandakan yang sememangnya menyayat hati. Keadaan telah memaksa golongan seperti mereka untuk membuat pilihan diluar kerelaan diri sendiri dan akhirnya, ia mengajar kita untuk melihat dunia ini daripada sisi pandang yang berbeza.

Semoga kisah ini tidak akan luput ditelan zaman...


Sumber;

Japanese Immigrants and Investments in North Borneo: Yukata Shimomoto

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts